Thursday, August 2, 2007

happy birthday Malaysia


Selamat hari jadi Malaysia
Happy birthday to you 3x
Malaysia
Happy birthday to you
Wah.! Patriotiknya aku hari ini. Terjangkit demam kura birthday Malaysia mungkin ni. Kalau Pak Menteri nampak semangatku yang berkobar-kobar macam ni tentu jadi menyesal sebab tak ambil aku jadi kuli dia . Satu-satunya yang silap sebab aku nyanyi dalam tandas dan bukan dihadapan rumah sambil menaikkan bendera Malaysia. Kalau aku buat macam tu mau tak meraung Pak Menteri nanti sebab menyesal sungguh-sungguh. Sebenarnya aku cuma mengamalkan peribahasa lama sambil menyelam sambil ‘buang’ air. Sebab tu lah menyanyi dalam tandas. Aku ni bukan nak cerita pasal lagu tapi termelalut sikit pula. Aku nak cerita pasal makan dan jiran rumah aku yang baru.
Tengah hari tadi aku makan ikan kembong masak asam pedas ( ikan yang dibeli di pasar malam semalam walaupun dah naik harga), sayur kangkung tumis dan bendi lecur. Selepas itu, sempat pula menonton sinetron ‘cintaku dirumah susun’ di astro prima sambil mengunyah kacang tanah yang dijual oleh agen jualan langsung ( dari rumah ke rumah). Dia berdagang sambil diiringi lagu-lagu lama—lagu ketipung payung kemudian disambung dengan lagu lenggang-lenggang kangkong. Pelik tapi benar sang agen ialah makcik cina sebaya ibu saya. Tiga kali seminggu dia pasti melalui kawasan perumahan kami untuk menjalankan roadshow dan bila saja lagu tema kedengaran kami berduyun-duyun keluar dan berdiri ditepi jalan seperti sedang menunggu lintas hormat dari Askar Melayu Diraja semata-mata menunggu kacang tanah cap tangan. Kesempatan itu aku gunakan untuk berbual-bual dengan jiran sebelah yang baru pindah dan juga kakak Indon yang duduk selang dua rumah juga dengan makcik India yang menghuni rumah setentang dengan rumah ‘agamku’. Perbualan lebih banyak berkisar tentang kacang tanah atau paling tidak pun pasal keadaan cuaca yang sentiasa hujan—banjir. Aku melirik pada jiran sebelah yang dalam jangkaanku lewat 30-an. Raut wajah betul-betul cina. Kulit putih melepak, rambut lurus bak rebonding dan sepasang mata sepet yang besar sedikit dari biji timun ( sepet yang betul-betul sepet). Kataku dalam hati, oh ini rupa-rupanya ‘makcik’ yang selalu pasang lagu Teresa Teng kuat-kuat tu. Lagu tu hari-hari dia pasang sampai aku dah naik hafal. Macam ni la lebih kurang lagunya—
ni wen wo ai ni you
duo shenwo ai
ni you ji fenwo
de qing ye zhenwo
de ai ye zhenyue
liang dai biao
wo de xin
Maaflah ya kalau sebutan tak betul. Aku mengeja ikut citarasa sendiri. Secukup rasa. Ketika masing-masing hendak mengunci pintu pagar, jiran sebelah tiba-tiba membuka mulut
Jiran : amoi ada tau ka sapa duduk sini (tafsiran saya—kenal tak dengan orang kawasan kejiranan )
Aku : ada tau, ada tau tau ( maksud saya—ada yang saya kenal dan ada yang tidak )
Jiran: kasi cerita sikit
Aku : Jiran sebelah ni ( menuding jari sebelah kiri )orang Vietnam duduk. Dua bilik kasi sewa orang. Itu pasal ramai orang keluar masuk. (Aku membuat penerangan ringkas mengikut informasi terkini) Depan sana itu India duduk. Sebelah India, orang Melayu duduk..
Jiran : ya ka amoi ? Apa pasal saya tengo itu lelaki serupa cina.
Aku : Sudah menilik rupanya jiran aku ni ( dalam hati ). Itu Melayu kawin Cina la amoi
Aku juga menggunakan ‘amoi’ untuk membahasakan dia. Lebih mesra alam.
Jiran: oh itu macam kaa..
Aku: ah..itu macam la
Aku cepat-cepat membuka grill takut diwawancara hal-hal yang aku tidak pakar. Maklum sajalah walaupun dah duduk 3 tahun ditaman ini tapi kenalan hampir tiada. Mungkin aku ni tak mesra alam. Kawan dari alam flora tu adalah..hehe aku terkekeh dalam hati. Lucu dengan lawak sendiri. Tiba-tiba jiran baru tu seru aku lagi..adoi potong stim betul la..
Aku : ya amoi
Jiran : ini tempat tada hal ah. Saya tengo lain macam saja. Ada banyak macam orang. Itu Bangla ada, indon ada, siam ada..sumua macam pun ada..
Aku: tada apa la amoi, ini tempat ada banyak kilang. Itu pasal banyak orang asing duduk sini. Kalau nak duduk tempat sunyi pergilah kat kutub utara, aku menyambung dalam hati.
Jiran: oh patut lah itu macam. Awak kerja mana?
Kan aku dah cakap akhirnya mesti dia bedah siasat aku sekali.
Aku : kerja dekat-dekat sini saja la. Jaga kedai.
Malas nak buat penerangan
Aku: Amoi dulu duduk mana? turut membedah
Jiran: Dulu kerja Melaka
Aku: ohh.
Aku cepat-cepat potong cakap takut nanti penerangannya melimpah ruah.
Aku: Eh.. saya masuk dulu ya.. ada kerja sikit.
Sambil buat mimik muka yang macam tengah pujuk anak makan bubur. Aku cepat meminta diri sebelum dia sempat membuka bab 1. Tadi tu prolog.
Jiran : yalah amoi. Ada masa nanti kita cerita lagi.
Mungkin dia sudah membaca sikapku yang melayannya ala kadar saja kut. Aku senyum dan mengangguk. Cepat-cepat membuka grill.Masuk saja dalam rumah aku cepat-cepat buka TV. Sebenarnya itu ‘kerja’ yang penting sangat tu. Mana boleh tinggal tengok cerita yang buat aku mengilai-ngilai selama 1 jam. Cerita dari seberang.
Selepas tertera perkataan ‘Bersambung’ di skrin TV, aku cepat2 meng’on’ computer. Duduk mengarang lagi. Dalam aku mencari ilham tiba-tiba aku teringat lagu ‘birthday’ pagi tadi, merdeka sudahkah kita? Selepas 50 tahun ( termasuk tahun ini ) kita mengira laungan merdeka, adakah kita sudah benar-benar bebas. Dengan sikap kita yang bergantung sepenuhnya pada tenaga kerja asing—dari kerja biasa-biasa sehingga luar biasa kita sebenarnya masih merayu-rayu dengan pendatang asing( wah! macam PM buat ulasan malam merdeka pula). Yalah, dulu-dulu waktu zaman Tok Janggut dan Mat Saleh mereka tidaklah pemalas dan merayu-rayu minta ditolong macam kita. Aneh. Kita yang sempat menikmati rasa merdeka, kini beria-ia pula ingin kembali ke Zaman Batu. Macam aku tadi tidak bersungguh-sungguh mempraktikkan nilai murni yang dipelajari dalam subjek Pendidkan Moral di tingkatan 4 dulu. Juga tidak seperti makcik cina (penjual kacang ) yang masih menghargai lagu-lagu lama. Lagu melayu pula tu. Sebenarnya kini kita jauh lebih mundur berbanding zaman 50-an dulu kerana kini kita bukan sahaja dijajah secara fizikal tetapi juga minda.
Merdekakah kita bulan ini? Hati kecil saya jujur berkata TIDAK. Namun itu bukan bermakna saya tidak bersyukur dengan segala nikmat duduk di negara lubuk RM ini. Saya sungguh-sungguh bersyukur. Teringat pula dengan ikan kembong yang saya makan tak habis tengah hari tadi, saya terfikir, masih adakah lagi anak-anak Palestin yang boleh menjamah makanan seenak itu. Pada ketika saya ketawa mengilai-ngilai menonton tv tadi saya teringat wanita dan anak-anak disempadan Thailand. Hati kecil saya bertanya masih bolehkah mereka ketawa gembira seperti saya bila yang tersayang menghembus nafas dihujung peluru.. Mengingati semua itu saya tidak jadi mengutuk Malaysia.
Tapi saya sangat berharap merdeka tahun ini kita boleh tadahkan tangan bersyukur atas segala limpah kurnia yang diturunkan dibumi bertuah ini. Lupakan seketika percikan bunga api dan majlis yang membazir—salaurkan RM pada yang lebih memerlukan.
Semoga tahun depan saya masih boleh makan ikan kembong ( yang sudah turun harga mungkin waktu itu ) dan masih boleh mengilai depan TV. Dan kalau boleh biarlah pada masa itu saya sedang menonton karya anak tempatan.
ini kisah kureng benar. saja2 menulis utk hilangkan ngantuk

No comments:

ungu

ungu

ungu lagi

ungu lagi

unguNYAungu

unguNYAungu

  © Blog Design by Simply Fabulous Blogger Templates

Back to TOP