Sunday, July 29, 2007

sepetang bersama


Sepetang bersama kawan lama

Menghabiskan petang minggu bershoping ditengah kota bersama kawan lama merupakan rutin harian yang telah lama aku tinggalkan. Semalam ia berlaku lagi. Gembira hati sehingga menyanyi-nyanyi masa dalam bilik air. Lagu apa dan siapa ya ? liriknya macam ni.-
Setinggi seluas gunung dan lautan
Sejuta harapan di pertaruhkan
Beronak berliku jalan ku lalui
Selagi berupaya ku teruskan
Aneh ya gembira tapi nyanyi lagu jiwang. Tapi betul pagi semalam aku gembira. Gembira sangat Mana taknya sejak 3 tahun kebelakangan ini aku tidak pernah meronda mall besar bersama dia lagi. Dulu itu merupakan rutin wajib bagi kami sehingga hampir diaplikasikan setiap hari. Haya..makcik itu dulu-dulu la..masa kami baru mendaftar menjadi warga Kuala Lumpur.
Dari stesen komuter Nilai aku bertolak hampir jam 11.30 pagi dan sampai di stesen KL Sentral sejam selepas itu. Plan awal tak nak menyimpang lagi..sebab janji nak 'meeting' dekat JJ Wangsa Maju ( Jaya Jusco ) tapi mata aku ni susah sangat nak dikawal. Mahu tak mahu terpaksa juga meninjau-ninjau pameran diruang legar KL Sentral dan sempat pula menghulur RM 26 untuk dua benda yang bukannya boleh makan pun. Gadis seberang yang ramah melayan kecerewetanku tersenyum-senyum bila barang bertukar duit. Terima kasih ya..dia seakan-akan berbisik. Mungkin takut kedengaran lenggok bunyinya yang masih berbau Medan. Ya kak..aku pun bersopan-santun. Cepat-cepat berlalu sebelum penyakit tangan yang
'gatal2 'datang kembali. Ya..la gatal membeli.
Selepas mendapat tiket Putra LRT ke stesen Wangsa Maju aku bergegas ke tingkat atas. 'Penunggu' ( yang menunggu tren la ) sudah ramai beratur walaupun tren hanya selang 5 minit. Mungkin tanda-tanda awal menunjukkan ramai orang berjanji dipagi minggu. Tak kisah la berjanji dengan kawan ka, mata air ka, orang kampung ka. Janji sudah berjanji. Eee ..nampaknya aku kena beratur lagi. Nasib baik aku boleh duduk sepanjang jalan walaupun tempat duduk tu dikhaskan kepada warga tua, golongan kurang upaya dan ibu-ibu mengandung saja. Tapi aku buat-buat tak pandai membaca ( tiada yang lebih memerlukan la waktu tu ) dan kalau ditegur aku cakap la aku mengandung. Senang kan..
Ketika aku sampai di stesen LRT Wangsa Maju, bayangan kawan aku tu belum nampak lagi sehinggala 15 minit kemudian. Melihat dia berlenggang ke arahku membuat aku lupa yang dia kini sudah menjadi isteri dan ibu kepada Annabell Cyntia. Cantik dan comel seperti dulu-dulu juga. Tersenyum manis dengan lips gloss yang membalut bibir nipis…opps tapi yang penting gigi rabbit masih macam dulu juga( dulu-dulu aku suka menyakat dia begitu). Harap-harap masa dia membaca tulisan ini dia tidak mengutuk saya.
Kami memulakan rondaan di food court sebelum beralih ke ruangan minyak wangi Body Shop. Sempat mencuba beberapa jenis tapi akhirnya membeli ananya. Baunya sedap dan seketika membawa aku mengingat memori Fatin Najwa yang ditinggalkan berbelas tahun lamanya. Masa ditingkatan 2 atau 3 dulu. La..kisah masa aku baru belajar jadi anak gadis. Sory! melalut la pulak..
Hampir 3 jam bersama, kami sempat 'menderma' banyak di JJ. Sempat membeli sepasang kasut dan sepasang beg tangan. Kami macam dulu-dulu juga suka sangat cuba baju walaupun bukanlah berniat untuk membeli. Pelanggan yang berpusu-pusu membelek pelbagai barang seperti menyuntik semangat buatku yang sememangnya 2x5 dengan mereka. Masih terakam dihati kekecohan kami dibahagian pakaian kanak-kanak. Sebenarnya bahagian itu tidak pernah termasuk dalam senarai tempat lawatan tetapi hari ini nampaknya berbeza. Rupa-rupanya aku sedang berjalan bersama seorang kawan yang memikul tanggungjawab besar- isteri, ibu dan sedang menunaikan tanggungjawabnya sebagai ibu. Tiba-tiba ada rasa sebu. Sesekali pilu. Mungkin macam ni rasanya jadi wanita dewasa ya..!Titik. Jangan sambung nanti banjir di JJ. Memilih baju untuk Little Annabell, suasana jadi gamat. Sales girl yang bertudung biru nampak sedikit pening dengan pilihan-pilihan kami. Sekejap memilih putih, sebentar menukar ungu tapi akhirnya memilih pink. Kalaulah aku berada ditempat si tudung biru itu, lebih baik aku terjun laut daripada menghadap pelangan macam kami ni..aku tersenyum simpul padahal dalam hati ketawa geli hati. Semasa beg plastic bertukar tangan aku diam-diam memasang angan akan kembali lagi diruangan ini dengan status yang berbeza satu masa nanti.
Sebelum berpisah kami sempat berbual sambil menikmati laksa dan roti telur di café yang alahai..sedapnya mata memandang tapi lidahku pula yang terseksa. Tak sedap. Eh, kalulah tukang masak tu tahu aku mengutuk dia mesti dia ketuk kepala aku ni dengan sendok. Tapi betul la..aku tak tipu, tak sedap. Menghabiskan RM je. Sepanjang perbualan, aku lebih banyak memonopoli sedang dia seperti biasa lebih banyak mendengar dan sesekali menyampuk. Aku tahu dia sedang meneka sesuatu dan cuba menzahirkan tetapi terhenti bila aku mula mencari tisu 30 sen seperti selalunya.
Minit-minit terakhir bersama dia membuat aku rasa kehilangan. Sebentar lagi arjunanya datang menjemput dan aku ? Tetap meneruskan perjalanan ini sendiri lagi. Terima kasih daun keladi ya..kerana sudi menghabiskan sepetang bersama saya.( sebenarnya mahu aku luahkan semalam tapi tidak sempat ). Di dalam tren LRT semalam aku masih memerhati indahnya neon kota sesekali teringat laguku pagi tadi yang tidak habis. Dalam hati aku menyambung-
Tak rela ku turutkan hati
Menyesali apa terjadi
Andainya begitu suratan
Yang tertulis di azalinya
Biarlah walaupun ku sepi
Sedih pedih di khianati

..na.na..na.na ( lupa lirik ) yang lain tu kamu sambung la sendiri…

Friday, July 27, 2007

-cinta-

Pabila berkata tentang cinta,
angin pun seakan-akan lupa melepaskan dinginnya;
mentari seolah-olah cuba menyembunyikan pijarnya;
bulan pula jadi malu-malu untuk mengintai bintang-bintang;
angin silir jadi berhenti mendesir;
dan kita?
Kita... bagaikan tidak teringin jadi dewasa...."

(Rindunya Kian Membara, Noor Suraya-Jemariseni)


Thursday, July 26, 2007

kenangan terindah


"Cinta itu boleh hadir berkali-kali. Luka berkali-kali.
Tapi tidak dengan persahabatan. Ia sekali dan selamanya.”

Nanak- kawan baik sejak sekolah rendah-selamanya. Kami berkongsi banyak kisah dan cerita sepanjang kanak-kanak, remaja hingga dewasa. Dari cerita berkubang macam kerbau sehingga ketakutan haid pertama. Dari insiden terjatuh dari pokok mata kucing sehingga kisah surat cinta pertama. Dari segala tawa ke segala duka. Dari segala tangis dan gembira. Sebenarnya ia sangat akrab dihati saya sehingga kini-selamanya.

Konong-sebenarnya mula kenal di sekolah rendah tapi menjadi kawan baik sejak di tingkatan 4 (SMK Tandek ). Dari cerita bangun subuh-subuh dan duduk belajar di tangga ke kisah buat warden menangis. Dari ponteng kelas sehingga ponteng kuliah Dari wilayah SMK Tandek ke SMK Kota Marudu sehingga keUM kita tetap bersama. Melakar kenangan bukan sedikit. Dari kisah cinta internet ke temujanji yang pertama. Sehingga kelahiran permata sulung juga- dan selamanya saya tetap menuntut hak saya sebagai sahabat.

KatOno( kay )-kawan baik saya sejak di SMK Tandek sehingga kini-selamanya. Dari cerita anak kucing ke kisah saya merajuk semalaman( masa baru abis SPM dia cakap dia inda sayang saya..sayang konong ja). Dari kisah kita pusing keliling di kampung Parong sehingga kita mandi hujan di Talantang. Dan kemesraan itu tidak pernah terhenti sungguhpun selepas bertahun-tahun tidak bersua. Kekal mekar dihati sungguhpun namanya kini bertukar menjadi Kay. Harap-harap kalau dia membaca catatan ini, tawanya masih seperti dulu.

Mimi Leong-kadang-kadang dia jadi kakak( padahal dia kecik je), kadang-kadang jadi kawan. Gadis kecil berhati besar ini tempat saya mencurah rasa. Saya selalu sangat pinjam bahu dia tempat menangis. Dari dulu waktu dekat dengan dia sehingga saya sejauh ini pun dia tetap menjadi pilihan untuk disusahkan. Saya harap lepas ni dia tak kisah sangat kalau saya susahkan dia lagi.

Usim- Boleh jadi sepupu dan kawan baik( jadi-jadian ). Mula akrab dengannya sewaktu di UM. Duduk sekolej dan serumah( tahun 2,3) membolehkan kami melakarkan sejuta warna hidup. Dari kisah baju kurung, ke cerita salah naik bas. Dari kisah ‘clash’ ke kisah ‘ pea nut’. Dari kisah oren jus tertumpah dan KLCC sehingga kisah Minolta. Dari kisah keluarga ke cerita cinta kami tidak kekok kisahkan. Dengan dia saya sesekali menangis( bila hantar sms yang tajam menikam) sesekali tertawa( dengan istilah yang aneh-aneh). Harap-harap selepas ini saya boleh lagi berkongsi segala rasa dengan dia. Dari rasa semanis madu sehingga pahit-pahit ubat panadol..yalah semuanya.

Mariana Baleron- kawan baik sekursus di UM. Nampak ganas tapi selalu juga pinjam bahu saya. Kisah hp jatuh dalam tandas-kisah ponteng kuliah-kisah abang Is dan Kuala Pilah sehingga kisah cinta yang terhalang semua kekal diingatan. Moga-moga lepas ni dapatlah menjejakkan kaki ke rumah panjang Long San, Miri.
jus2 n bon2- sepasang kembar seiras yang dulu buat aku pening. Mula-mula pindah aku sekelas dengan Bon-bon dan tak tau langsung dia ni ada kembar. Cuma selepas satu kejadian barulah aku tau. Si kembar ni suka menari ( dulu-dulu la ). Sesekali bila membelek gambar lama aku tersenyum sendiri mengingati kisah pasal tari menari ni. Hari tu sempat ber sms dengan si kembar rasanya masih macam dulu-dulu. Harap-harap boleh jumpa lagi lepas ni.
Oboy, Unsub , Lily, Yen, Sandra, Latak
Boboy, dan yang tidak tertulis..semoga kita gembira dengan jalan hidup yang kita pilih.

Sunday, July 22, 2007

kk-kl


Aku menangis lagi.Menangis dan menangis lagi. Hampir separuh penerbangan AK 1500 dari Terminal 2 Kota Kinabalu ke LCCT aku sudah habiskan dengan adegan hindustan ini. Mamat mata sepet yang duduk selang satu kerusi pun dan tiga empat kali pandang. Hairan barangkali. Sesekali memandang majalah di ribaku dan pasti sedang cuba meneka punca aku menangis. Tisu yang sudah aku sediakan awal-awal lagi sudah tidak cukup menampung banjir kilat kali ini. Terlebih skrip. Aku melepaskan nafas perlahan-lahan. Ditahan-tahan. Cuba memujuk hati supaya tidak menangis lagi. Sudahlah wahai sang hati jangan bersajak luka lagi. Cukuplah syair sedih itu. Jangan diulang-ulang lagi. Banjir dihulu hati tidak mampu ditahan oleh tisu berharga 30 sen ini. Tapi hatiku degil masih lagi bergurindam jiwa-
tuai padi antara masak
esok jangan layu-layuan
intai kami antara nampak
esok jangan rindu-rinduan..

Demikian degilnya hati wanita suku abad ini.Aku tidak berputus asa, terus memujuk hati.
cukup hati,
ungu itu tidak terlalu indah sebenarnya,
pilihlah warna merah cinta
atau putih tulus
atau biru kudus
atau juga semua warna
selain ungu.
ungu itu sekadar ungu
dan bukan apa-apa!
Hatiku tetap berdegil sehingga membuat aku hilang sabar. Dalam keadaan tisu tinggal sehelai ini hati terus bersayu-sayu.Berhiba-hiba.
Dua tiga kucing berlari
mana sama si kucing belang
dua tiga boleh kucari
mana sama dia seorang
.

Amboi. Dengan pantun zaman tadika ni pun boleh buat hati menangis. .Aku pura2 berlawak.sebenarnya cuba memujuk hati namun tiada tanda-tanda boleh berjaya.
Rupanya mamat mata sepet di sebelah punya cuping telinga yang cukup sensitif. Dia menoleh lagi dan aku jadi tidak selesa. Aku pura-pura membaca majalah Eh di tangan ku, padahal huruf-huruf itu tidak membawa maksud apa-apa padaku. Kelihatan seperti kaligrafi cina dan sesekali kelihatan seperti tulisan Siam. Tidak bermakna. Aku terus pura-pura membaca sedang bab edisi pengantin majalah Eh Jun ini tidak lebih dari sekadar bawang ros merah yang dikupas di depan mataku. Menambah pedih di mata dan nyilu di hati.

Kawin..? Alahai inilah kata kunci kenapa aku menangis bagai nak rak. Setiap kali pulang ke tanah lahir pasti persoalan inilah yang buat aku rasa tak nak turun dari perut kapalterbang. Soalan inilah yang menyebabkan aku buat-buat pekak bila ditanya dan kadang-kadang terasa pula nak buat-buat buta masa jumpa dengan kawan-kawan lama. Bukan mengelak ( mengelak la tu ) tapi sebenarnya aku tidak menemui sebarang jawapan biarpun selepas buat ulangkaji beberapa kali.

Ditanya tentang perihal kawin terasa seperti sedang di'bedah' siasat sebenarnya. Sakit dan sedihnya hati hanya Tuhan saja yang tahu. Kadang kala berjauh hati dan bertanya mengapa mesti aku yang melalui semua ini. Kenapa tidak orang lain sahaja. Kenapa jalan hidup perlu berkeluk liku yang seringkali membuat aku terjatuh- tersungkur bersendirian.

Masih lekat dicuping telinga kata-kata mama pagi sebelum keberangkatanku. Lebih kurang begini maksudnya ' aku perlu berkawin kerana aku perempuan dan perlu ada seseorang yang menjaga terutama ketika jauh dengan keluarga'. Alahai mama, aku sudah besar panjang la..tak perlu dijaga lagi-berkawin kalau setakat menyusahkan, lebih baik jangan. Sebenarnya kata-kata ini mahu saja aku luahkan tapi rasa hormatku menegah aku berbuat begitu. Lantas aku pun menjelma menjadi gadis yang sopan santun dan menjawab begini ' nanti la, kalau ada jodoh kawin la saya'. Kalau nak tahu aku sebenarnya benci sangat dengan jawapan itu. Hipokrit sangat. Tapi bila membaca riak terkilan dihati mama aku buat-buat sedih. Akhirnya perbualan kami mati di situ dan rasa kesalku bermula diperut pesawat ini.

Selama 2 jam 45 minit diperut pesawat aku hanya berfikir tentang jodoh dan kawin. Dua hal yang buat aku menangis macam orang putus cinta. Si Mata Sepet pula macam tukang tilik. Dari tadi pandang kita tak henti-henti. Ingat aku ada hutang ke dengan dia. Mahu saja aku jerit begitu tapi hanya bergema di dalam hati.

Bila masa anak kapal mengumumkan ketibaan kami di LCCT pun aku tak sedar. Yang aku sedar penumpang mula sibuk membetulkan rambut yang tadi macam sarang tebuan, menebalkan kembali lipstik yang dah pudar, membetulkan kain baju yang senget dan banyak lagi ragam lain. Haa ni la tanda-tanda dah sampai di tempat baru. Itu sebenarnya jelmaan dari kata-kata ' aku baru turun kapalterbang la..'Aku..? cuma tergesa-gesa menghidupkan telefon bimbit walaupun berkali-kali anak kapal memberi amaran sambil tangan kiri mencapai beg. Rasanya tak salah sesekali jadi penganas..

Pesanan terbaru tertera di skrin hp buat aku terhenti seketika. Ia berbunyi ' bersyukurlah kerana dipilih untuk melalui semua ini. Dia punya alasan yang kukuh-kerana kamu masih banyak kekuatan untuk menghadapinya '. Membaca sms dari sepupu membuat semangat ku kembali berkobar-kobar. Terasa nak tukar pula nama dalam IC tu jadi Tun Teja.Tak sangka ya semangat membara ni akhirnya buat hati begitu patuh. Tidak menangis lagi. Mujurlah ia tidak meninggalkan sebarang bekas dan tanda. Sebelum meninggalkan LCCT yang sesak ini sempat juga aku mengingati dua baris gurindam jiwa berbunyi begini:-

bercerai kasih talak tiada

seribu tahun bertemu juga

Kenapa ya masih berpantun begini..aku tak habis fikir lagi la.!


amaran kepada lelaki -pesanan kepada perempuan

bertahun dulu
kutanya hatimu
tentang cincin tanda
katamu:
"tunggulah akan sampai juga waktunya"
hari ini
kau risik hatiku
tentang cincin tanda( yang sama )
kataku:
"tunggulah sehingga rasa itu datang kembali"
tidak terluah
"maaflah-rasa itu tiada lagi
ia hilang bertahun dulu"

Kawan baik saya pernah bercerita tentang lelaki yang hadir dalam hidupnya. Katanya bukan sehari dua dia berkasih sayang. Dan kerana alasan itu memang wajar dia bertanya tentang ikatan( wajar bukan?). Pada saya, wajar kerana keduanya sudah cukup umur dan lebih dari layak untuk membina rumah dan tangga( kerana ramai orang membina rumah tidak bertangga ya). Namun perkataan 'TUNGGU' itu jugalah yang diulang-ulang. Sedang 'TUNGGU' ( dan apa juga kata sama erti) merupakan perkataan yang 'mengerikan' terutama kepada kaum perempuan yang tidak memlilih secara rela untuk bersendirian sepanjang hayat . 'TUNGGU' -satu tempoh masa yang tidak seronok sebenarnya. Dalam tempoh masa berlangsungnya 'TUNGGU' itu pasti banyak kejadian yang terjadi sama ada diingini atau tidak. Separti kawan yang satu ini-akhirnya kehilangan deria rasa ( untuk membina rumah dan tangga). Kepada lelaki ( dan juga perempuan ) kalau bahagia itu sudah di depan mata, jangan cari lagi di tempat lain.

#Merah- itu tanda berhenti dan berfikir ya!

Sunday, July 8, 2007

dendam

cintaku terbakar
oleh api dendam
yang merah menyala
tiada yang tertinggal
hanya puing luka


Monday, July 2, 2007

-gaun ungu-

tahun berlalu tetap
musim juga berganti pasti
semilir angin pun tidak sedingin dulu
hujan jua rintiknya tidak sebening dulu
angin-kah?
hujan-kah?
atau aku
yang tidak separti dulu

Di kamar sepi ini
aku kira aku masih bermimpi
tentang seekor burung biru
terbang merentas samudera
memburu cita
jauh di jaring kota
jua masih bermimpi
tentang sepasang gaun unggu
yang dulu menghiasi angan malam


gaun unggu menjadi mimpi
yang mungkin selama-lamanya mimpi
jika begitu
tolong-lah

jangan kejutkan aku!


ketika orang mencari putih aku tetap memilih ungu. Sampai bila-bila pun !

ungu

ungu

ungu lagi

ungu lagi

unguNYAungu

unguNYAungu

  © Blog Design by Simply Fabulous Blogger Templates

Back to TOP