Thursday, November 29, 2007

Ku Usir Lara Ini

Semalam saya menghadap cermin ajaib itu lagi. Cermin ajaib? Tidak lah, cermin biasa-biasa. Tempat saya menilik diri selalunya. Cermin besar itu umpama penasihat peribadi saya yang bisu. Saya tanya kemudian saya jawab sendiri. Macam tu la selalunya.

Semalam saya tanya cermin, macam ni kah saya selalunya? Macam ni kah sepatutnya saya menikmati hidup yang singkat ini? Dan seperti selalu dia tetap diam membisu. Beberapa tempoh ini, saya sering diburu rasa yang tidak sepatutnya. Resah. Gelisah. Rasa bersalah. Dan banyak rasa lain yang sukar saya namakan. Saya jadi was-was dengan diri sendiri.

Berkali-kali saya ingatkan diri, jangan sesekali menyesali yang lepas. Pandang depan dan hadapi hari-hari mendatang dengan rasa syukur. Saya tengah berusaha. Berusaha untuk menyingkirkan semua perkara yang sedih dan menyakitkan itu. Melupakan semua orang yang membuatkan saya jadi 'bengong' begini.

Iya, macam ni lah hidup kita. Selagi roda hidup ini berputar, kita sesekali pasti di atas kemudian di golek ke bawah. Nda percaya? Perhatikan la diri kamu juga. Nah..mari lah kita layan blues dulu..

Sedalam mana cintamu
Kau berjanji akan masih seperti dahulu
menyintai menyayangi ku dengan sepenuh hati
dalam hujan dan kemarau kau lindungi aku
belum puas ku kecapi hangat kasihmu
Sejak engkau pergi dulu
kau bawa bersama bisa hati ini
kembalikan belaian jiwa
kumoga cinta bercahaya selamanya
Sedalam mana cintamu
hingga sanggup melukakan hati ini
di kala aku rindu
kasih sayangmu di sisiku
hingga akhir nanti
Pulangkanlah bintang siang dan malamku
lepaskanlah sengsara ini
katakanlah engkau menjadi milikku
berjanjilah hilangkan resahku

SEGANTANG BERAS PULUT III


Aku kembali berkelana dengan satu tanya yang tidak terjawab. Tergantung begitu sahaja. Ku biarkan nombor teka teki itu menjadi penghias diari harianku. Hatiku sedikit pun tidak beriya-iya ingin tahu. Dan inilah yang buat aku gusar kerana tempoh perjanjian ku dengan emak hanya berbaki 25 hari sahaja lagi. Mati. Dalam hati menyumpah-nyumpah sendirian. Kenapa lah celupar sangat hari tu. Kenapa lah cuai sangat sampai minta 30 hari saja. Ini bukan kisah 30 hari mencari cinta. Ini kisah 30 hari mencari suami. Apa lah salahnya kalau letak 30 bulan. 30 bulan? Ha ha aku gelak sendiri.

“Woi! apa hal?” Gelakku mati.
“Sejak balik dari kampung Nah tengok Indah ni semacam je?”. Aku malu sendiri bila Nah mula mencurigai keadaanku. Separuh tenat. Dia duduk di sebelahku. Menepuk bahu kanan sebagai tanda tanyanya minta dijawab. Aku masih diam. Padaku ayat akhir itu bukan pertanyaan tapi tuduhan yang seolah meletakkan aku sekali dalam kelompok manusia 'mulau' . Diam.

Nah tidak berputus asa. Kali ini Nah nekad duduk bersila di depanku. Masih dengan harapan agaknya. Aku terus-terusan senyum. Sebetulnya ingin menjawab, tapi, masih memikir-mikir bagaimana caranya supaya Nah tidak terkejut beruk. Iya lah, takkan nak bagi tau terus yang dah ada orang berkenan kat aku. Berkenan nak buat bini. Nak buat macam mana ya..? Alahai Indah, pendeknya akal.

“Tiada lah. Rindu kampung agaknya” aku beriya-iya mengajuk bunyi orang Negeri bercakap. Aku lihat Nah tidak berpuas hati. Berkerut-kerut dahinya menerima alasanku.
“Takkan lah rindu kampung sampai gelak sorang-sorang. Bukan sekali Nah lihat, dah banyak kali tau”
“ Aik, sejak bila pulak Nah tukar kerja ni?”
“ Sejak Indah tu dah jadi angau la. Tau tak..”
“Tak tau” aku pantas memotong katanya sambil mencebik.
“ Orang bagi tau lah ni..” sepantas kilat jarinya yang runcing mencubit paha kananku. Tak sempat mengelak, aku terjerit kecil.
“Sejak balik dari kampung hari tu, Indah jadi macam tak betul. Kita jadi susah hati. Mana tau Indah ada masalah ke ..”
“Yalah Indah, kita syak mesti ada sesuatu yang tak kena ..” Entah dari mana Dayang tiba-tiba menyampuk.
“ Tak nak bagi tau kita ke?” Nah mula buat muka kesian. Aku masih tersenyum.
“Indah, takkan simpan sorang-sorang.” Sambil tercarik-carik benang yang terjulur dari sarung bantal comel hijau pucuk pisang. Warnanya semakin pudar.
Dayang mula menunjukkan bakat menyanyi. Bukan. Tengah menyindir Indah agaknya. Hampir tidak terdengar suaranya bila aku dengan sengaja memasang tv kuat-kuat.

"Tanya sama pokok, apa sebab goyang..
nanti jawab pokok angin yang goncang
tanya sama langit, apa sebab hujan
nanti jawab langit, tanya lah awan...

..tanya sama hati apa asal sayang
apakah tandanya nampak di pandang.."

Wah! Boleh tahan. Aku terdiam menikmati lagu lama ini seketika. Tersenyum lagi. Entah, sama ada kerana lirik lagunya yang tersirat seribu makna atau kerana suara Dayang yang sedap. Ala-ala suara Fatin, salah seorang dari berpuluh-puluh peserta program realiti paling popular, Akademi Fantasia.

Kuperhati teman serumah satu persatu. Nah yang masih sepi menanti. Dayang yang tiba-tiba sudah melabuhkan punggung di sebelahku dan kaku tidak berganjak. Dia masih menyanyi la la la..tak habis habis.

Aku memerhati diri yang kelu seribu bahasa. Rasa bersalah mula memenuhi rongga dada. Kedua-dua teman ini lah pengganti keluarga di tanah rantau. Mereka ini lah tempat ku bergaduh, mengadu dan bermanja. Tiga tahun bukan satu tempoh yang singkat. Banyak yang kami sudah kongsikan bersama. Aku dan Dayang sama-sama anak rantau, sementara Nah merupakan anak jati Negeri yang terkenal dengan adat pepatih ini. Selain menjadi ketua rumah, dia juga berperanan menjadi pemandu pelancong tidak bertauliah untuk aku dan Dayang. Pemandu pelancong? Bawa aku dan Dayang ke Ulu Bendul boleh lah. Tempat lain jangan harap lah. Nanti kena dengan jawapan skema..Eh, tak boleh lah bahaya. Bagi Nah, tempat paling selamat di muka bumi ini hanya di Kuala Pilah. Daerah kelahiran dia. He he aku terlepas tawa lagi.
Nah dan Dayang berpandangan.
“ Em..semakin tenat lah kawan kita ni..” Masing-masing angkat kaki. Aku terus-terusan mengutuk diri. Bengap sangat lah!
Diari hitam masih kaku terdiam di pangkuan.

Tuesday, November 20, 2007

Bulan cinta.?

Bulan cinta datang lagi!

Seperti biasa mucim cuti sekolah menjadi musim yang ditunggu-tunggu. Ini musim orang mau kawin. Musim mau bertunang. Musim mau bercinta. Musim yang seronok sebab selalu dapat makan free..hehe!
Minggu akhir November ini saja, dua orang sepupu akan melangsungkan hari bahagia selang 3 hari sahaja. Itu belum termasuk yang mahu bertunang bertanda lagi. Pendek kata musim cuti sekolah ni memang bulan bahagia..bulan cinta!

Nampaknya, bulan akhir setiap tahun ini berbunga-bunga. Tahniah kepada yang berkenaan. Semoga bahagia dan kekal bersama sehingga ke anak cucu.

p/s Tahniah juga kepada rakan-rakan yang sudi berkongsi rahsia impian perkahwinan mereka.

Saturday, November 17, 2007

Ada apa dengan angka?

Kalau saya kawin dengan lelaki tua dan sudah beristeri, macammana? Apa? Iya, kalau saya kawin dengan suami orang, jadi isteri kedua, macam mana? Macam mana apa? Nanti kau mau kawan lagi dengan saya kah?

Saya sedikit tersinggung dengan pertanyaan akhir itu. Soalan itu seolah-olah, saya ni jenis pilih kawan. Pilih bulu. Saya bukan begitu!Sekali lagi, saya bukan begitu!

Dan untuk pertanyaan dia yang pertama, saya rasa dia lebih tahu jawapannya. Dia punya pengetahuan agama yang baik. Saya tahu dia percaya tentang Qada dan Qadar. Percaya dengan takdir. Percaya bahawa ketentuan jodoh, ajal dan maut itu di tangan Pencipta.

Saya berharap apa pun yang berlaku selepas ini, biar dibuat betul-betul. Sebabnya, saya benar-benar teringin berada di sisinya saat dia di ijab kabul.

( Bertahun dulu saya pernah bertanya, macam mana kalau saya kawin dengan lelaki jauh lebih muda. Dia jawab, ada apa dengan nombor. Selepas 10 tahun berlalu, saya kembalikan kata-kata ini pada empunyanya.)

catatan seminggu

i)
Semalam saya menerima email dari seorang kawan lama-

Terima kasih sahabat ku...kamu mengingati aku....walaupun tiada yang istimewa tentang diri ini.....seandainya suatu hari bila usia membawa kita pada kehidupan yang menuntut kita memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri.....sebagai ibu.....sebagai anak yang menjaga ibu dan bapa....jadikan kenangan yang manis....yang pahit ....yang masam....yang pedas....sebagai perisai untuk menghadapi hari2 yang ada ....selagi kita di izin olehNYA.....menikmati berkat2 sang Pencipta di bumi yang indah ini....
ida.....
terima kasih....aku gembira...menyesal pula tidak melayari blog kamu sejak dulu lagi.....yang penting bilang si kandawai sejauh mana pun kandawai berhijrah...musim akan menjemput dia kembali di tanah pusakanya.....bersama dengan si padi...di sawah....bersama dengan si landoi.....si limbata......walaupun kadang2 radu....kambain....kobuta....telah memusnah rumun si kandawai.....namun kandawai akan kembali juga.....dan aku menunggu dengan rindu...dengan harapan kepulangan kandawai2 yang meninggalkan aku di pulau borneo ini..
(ida-itulah nama klasik dan nama kampung2 saya)

Saya membacanya berulang kali. Berulang kali juga saya menyekat airmata yang degil mengalir. Pengirim email ini antara kawan saya yang paling menyepi. Dan malam ini saya rasa sangat terharu, akhirnya dia berkesempatan melayari laman ungu ini. Sungguh pun saya gagal menemui jejak yang di tinggalkan, namun saya puas hati. Puas. Sekurang-kurangnya dia tahu ada banyak perkara yang ingin saya beritahu lewat pena di laman ini.


ii)
Beberapa hari lalu saya menerima sms dari Borneo. Dia bertanya kenapa kebanyakan entri saya berkisar tentang buah kampung2. Ada jambu batu, ada mangga, ada padi dan segala macam benda kampung2. Kena taja oleh Pasar Tani kah? Hehe..Saya balas begini, bukan blog saya ni sebenarnya membuat promosi ' Makan lah buah-buahan tempatan'. Iya, bila saya membaca balik beberapa entri, memang betul saya banyak mempopularkan beberapa jenis buah kampung2. Saya menulis tidak di rancang. Tanpa draf. Saya suka menulis apa yang saya suka dan paling dekat di hati saya. Untuk anak kampung seperti saya, apa lagi yang lebih bernilai selain memori yang tertinggal di celahan ranting pohon kampung2 itu. Dan saya gembira bila mampu menyentak ingatan kita apa lagi kalau di puji menjadikan buah kampung2 itu cukup luarbiasa. ( Saya tengah membuat bakul)!

iii)
Seorang teman lagi bertanya, bila lagi ada entri baru. Nampaknya dia tertunggu-tunggu. Saya kata jangan lah selalu-selalu. Ketara sangat saya ni tiada kerja. Hehe..! dia sempat tanya, sejak bila belajar balik. Ayat-ayat kamu makin cantik. Aisemen..biar betul. Ini memuji ke menyindir? Pengumuman BM saya R waktu STPM ya! Bahasa Melayu lintang pukang. Berterabur. Tapi saya tetap menulis. Mana tau kalau yang berterabur itulah yang semakin bernilai di mata orang.

iv)
Di luar masih hujan. Hati saya terus kelabu. Rindu saya berterbangan. Masih tiada arah!

Tuesday, November 13, 2007

Mangga oh Mangga!

Hp saya berlagu-lagu. Menjerit minta dilayan. Saya tengok skrin, tertera nama adik kesayangan saya. Ery.

Saya-oi, napa tu?
Ery- ko da pigi pasar malam ka?
Saya- belum. Baru mo pigi ni. Napa?
Ery- ada mangga air ( mempelam) di jual tau.
Saya- yg di sebelah mana? ( pasar malam Taman Semarak ni antara pasar malam paling besar di sekitar Nilai).
Ery- tempat pakcik yg menjual pucuk ubi tu..
Saya - oh bah ..nt sa p tengo..
Ery-em, tu ja.

Talian di putuskan. Begitulah biasanya kami. Tidak perlu pembuka dan penutup kata berbunyi formal. Nanti nampak dan rasa ganjil. Saya cepat-cepat mencapai beg duit dengan niat mengejar mangga air di pasar malam. Baru turun dua anak tangga, tiba-tiba ‘ dia’ datang. Siapa lagi kalau bukan penguatkuasa tempatan. Saya sempat menilik jam tangan saya, 6.50 pm. Aik..! overtime kali bilang saya dalam hati. Perjalanan saya tertangguh hampir 15 minit. Saya sebenarnya malas diganggu masa genting begini, tapi, tetap bermanis muka untuk mengelakkan saman melayang di muka saya. Huu nanti hilang lagi RM 250 saya bulan ni.

Tepat 7.20 pm saya sampai di gerai yang dimaksudkan. Memang betul, selonggok mangga air masih berbaki banyak. Saya mengambil sekilo bayar RM4. Pakcik tu sempat mengaca. Dia kata ada' isi’ ke? Beli banyak. Saya senyum. Tidak menjawab. Kalau menjawab makin panjang lah cerita. Makin panjang cerita, makin kedapatan lah saya. Kedapatan belum laku-laku lagi. Haha! Kalau dalam keadaan tidak ‘berisi’ pun saya mampu menghabiskan sekilo, apa lagi kalau sudah ‘berisi’. Berisi? Aik..menyemai pun belum lagi tiba-tiba pula timbul cerita menuai. Haha..saya ketawa geli hati.

Mangga air! Sebenarnya mangga air ni antara buah kegemaran saya sejak zaman berhingus dulu. Sehingga hari ini dan mungkin selama-lamanya ia tetap menjadi buah kampung2 yang mendahului carta popular di hati saya. Seperti juga jambu batu, ia buah penuh nostalgia. Buah yang berjaya menghantar ingatan saya kepada beberapa orang teman lama di kampung. Masa muda belia dulu, saya, Nanak, Inty, Sept, Ery dan beberapa orang lagi selalu ‘membelasah’ mangga air ni beramai-ramai. ‘Port’ paling popular ialah di belakang gereja baru yang betul-betul menghadap sawah padi. Berbekal semangkuk garam + ajinomoto + cili kami boleh menghabiskan berkilo-kilo mangga air muda. Yang muda lagi bagus, Cuma belah, buang biji kemudian tempat kosong di tengah-tengah tu letak lah ramuan tadi..Huu masa tu gajah lalu depan mata pun tak nampak. Sedap sangat!

Pernah beberapa kali saya dan adik menyeledup mangga masuk dalam bilik. ( saya sebenarnya di istiharkan tidak boleh makan mangga muda / buah yang asam sebab selalu sakit dugal@ gastric ). Tengah-tengah malam baru kami buka rahsia. Makan mangga dalam gelap pun kami tidak peduli.( lampu di dapur saja yang dipasang kalau malam ). Sampai hari ini mama tidak pernah tahu rahsia kami dua beradik dan sampai hari ini juga dugal saya tidak pandai sembuh-sembuh.

Sungguh begitu saya menahan sengsara dugal, mangga air muda tidak pernah saya lupakan. Kalau di sini mangga air tu jarang-jarang ada. Sebab tu mangga epal di depan rumah kakak Indon tu selalu saya tempah dulu. Takut habis. Yang paling seronok saya dapat free. Saya pun tidak tau kenapa. Mungkin sebab saya pandai ajuk dia cakap Indon atau muka saya ada ciri-ciri muka ‘kesian’.. Mau tanya? Bikin apa, nanti tidak pasal-pasal saya kena bayar semua mangga yang sudah selamat saya hantar di loji pembentungan. Haha..!

Bercerita pasal mangga ni, saya tiba-tiba teringat kenangan masa di sekolah tinggi dulu. Malam-malam kami berkumpul di bilik pengawas
(sesekali ‘bonda’ panggil bilik ni Wad Hospital) untuk memulakan operasi makan mangga. Kak Mala tukang kupas kulit, Si Yus tukang jerang air( di minum utk hilangkan rasa pedas ), dan kamilah ( saya, Konong, Cath, Bon, Damia, Jus, Ump, Elen , Boboy dll ) yang berlumba-lumba menyelamatkan mangga ke dalam mulut. Ketawa kami yang berpadu memecahkan suasana malam yang aman di SMK Kota Marudu. Bila sudah kenyang buah asam begitu, maka banyak lah jenis penyakit yang datang. Bila banyak penyakit timbul, maka besoknya bilik pengawas akan bertukar jadi wad hospital. Bayangkan selepas waktu rehat sekolah sesi pagi, kami beramai-ramai balik, tidur siap berselimut. Haha..! Bila ‘ bonda’ ( warden asrama puteri ) datang kami bagi alasan sakit, padahal sebenarnya sakit malas yang lebih.

Malam ni saya makan mangga muda ini sambil merindui kenangan lama. Dulu makan ramai-ramai sekarang makan sendiri-sendiri. Rasa masam bercampur dengan rasa rindu yang semakin meragam di hati saya. Kadang-kadang saya rasa, rindu ini menyusahkan! Iya, menyusahkan bila cuma kita saja yang ter-rindu-rindu sendirian. Saya tidak tahu sama ada kawan-kawan lama masih ada 'hobi' seperti saya atau tidak. Iya lah sudah 10 tahun berlalu. Tentu banyak perkara sudah berubah.

Mungkin saya saja yang masih kekal di sini..begini. Berteman selonggok mangga air dan mengenang kisah-kisah lama. Saya pernah di sapa begini, kalau mahu berjaya, jangan lagi menoleh menangisi yang lalu. Pandang depan dan melangkah terus. Iyakah? Saya dapati frasa ini ada sedikit kesilapan. Saya percaya masa lalu itulah cermin yang paling jujur bercerita tentang siapa kita. Ia juga jamung yang paling terang untuk menyuluh setiap langkah kita menuju kehadapan.

Salam sayang!

Sunday, November 11, 2007

puisi hari ini untuk semalam.

Rindu aneh iii

Rindu aneh datang lagi
Datang tanpa tanya
Pergi tanpa tanda


dan seperti semalam
aku masih lagi menahan sendu

sendirian!


Lukisan semalam

Tentang lukisan semalam
Yang tidak sempat ku siapkan
Masih lagi kah
Ia tergantung di jantung hati
Masih punya waktu kah
Untuk ku warnakan
Putih janji
Dengan ungu cintaku?



Tuesday, November 6, 2007

Kusingan @ Semalu


(KUSINGAN @ SEMALU inilah yang buat saya ketawa sampai pecah perut di pagi rabu ini. huhu)
kay jhon: knpa tu ada gambar kusingan? ada gam kusingan di kl?

teresa_ida79: =))

teresa_ida79: huhu..

teresa_ida79: berabis sa mo ingat tu nama kusingan tadi oooooooooo

teresa_ida79: saja ba tu..

teresa_ida79: d kg ba tu sa ambil..huhu

kay jhon: kakatuk ong lupa la, mingkaso yg cerita si bren ki " oi ahab, oruhai nogi ko id kl om au ko no di kotutun do koruk"

teresa_ida79: =))

kay jhon: =))

teresa_ida79: bukan lupa..nga nda tau nama dusun boo

teresa_ida79: =))

kay jhon: ai ow

teresa_ida79: kusingan..plk tu..

kay jhon: kamu pangil apa boh, yg kebangsaan talantang?

kay jhon: lucu o tu smilie oi, miluluwid nopo dia ktwa

teresa_ida79: hehe

teresa_ida79: kusingan la bo
(perbualan yang di copy n paste dari YM)

nombor?



Saya mengaku, saya alergi dengan nombor. Nombor 1,2,3,4…. Dalam sejarah pendidikan, saya tidak pernah lulus subjek matematik. Dari zaman UPSR, PMR sehinggalah SPM saya tidak pernah lulus. Waktu tingkatan 5 dulu, ada seorang cikgu yang berdiri macam jaga di pintu pagar asrama semata-mata mahu memujuk saya menghadiri kelas tambahan matematik. Sehingga begitu sekali usaha beliau, tapi saya tetap tidak sembuh alergi nombor sampai lah saya tamat SPM. Dan kerana kealergian itu subjek matematik tidak tersenarai dalam sijil SPM saya. Penyakit ini berterusan sehingga saya hampir-hampir pengsan bila mendapat tahu kursus yang saya ambil di universiti ada kelas kira mengira ( statistik ). Setiap kali masuk kelas, saya mesti menempah kerusi belakang dengan harapan saya tidak di tanya sebarang soalan. Bila saban minggu di'kedudukan' belakang, maka bertambah-tambah lah ke'bengongan' saya dalam hal kira-mengira. Sehingga ke hari ini saya masih tertanya-tanya macam mana saya boleh 'lepas' dan seringkali pula menganggap itu salah satu dari 7 keajaiban IPTA yang belum terungkai. Huhu..

Petang minggu lalu saya berpeluang bertemu dengan kawan lama. Dua orang kawan saya sejak tingkatan 4 ini, kini sudah selamat menjadi isteri orang malah salah seorang sudah pun berjaya mencapai status ibu. ( Tahniah! Saya yakin status ibu merupakan peng-anugerahan tertinggi yang diterima oleh semua wanita). Saya kira sepanjang 5 tahun kebelakangan ini, petang minggu lalu merupakan antara masa yang istimewa yang patut kami sejarahkan. Sebab? Iya sebab ini merupakan pertemuan pertama kali secara bertiga dengan status yang baru ( kecuali saya).

Sambil menikmati minum petang di Mid Valley Bangsar, kedua orang kawan saya memulakan kelas ‘kira-mengira’. Iya kelas matematik untuk wanita yang sudah berkahwin dan teringin memiliki cahaya mata. Saya yang tidak terlibat dalam topic perbincangan hanya menadah telinga dan sesekali menyampuk. Iya, turut memeriahkan majlis. Tiba-tiba saya sedar, 10 tahun itu tidak terlalu lama untuk kita berubah. Sangat pantas. Selalunya saya tidak terkejar. Masih terakam di hati, 10 tahun lalu kami bertiga pernah bercerita tentang masa depan sambil duduk-duduk di tepi padang SMK Kota Marudu. Dan hari ini sekali lagi saya rasai suasana yang sama. Penuh nostalgia!

Kedua-dua teman saya ini agak sensitive dengan nombor. Mungkin kerana yang satu telah ‘dicinakan’ (berjodoh dengan lelaki cina) dan yang satu lagi banyak dipengaruh oleh big bos di tempat kerja. Petang itu kami 'menilik' nombor lagi. Ilmu yang di 'turunkan' oleh big bos salah satu dari kawan saya. Saya tidak percaya sebenarnya, tapi, masih berharap ada keajaiban berlaku dalam kiraan nombor saya. Biar hasilnya ‘cantik’ dan maksudnya yang baik-baik saja. Tapi sayang seribu kali sayang, tilikan tidak mencapai sasaran. Bak kata sudah jatuh di timpa tangga begitu lah ibarat tilikan perjalanan hidup saya. Sedih seketika, tapi ia hilang bila saya memutuskan bahawa kegagalan dan kejayaan yang saya telah dan akan lalui bukan terletak pada mana-mana nombor.

Saya lebih percaya apa yang terjadi dalam hidup lebih banyak dipengaruhi oleh pilihan masing-masing. Dan yang selebihnya sekadar memenuhi perjanjian yang termeterai antara saya dan Pencipta. Saya sekadar ingin mengulang frasa yang biasa digunakan oleh mereka yang hidupnya dilatari dengan pengetahuan agama yang baik "...semua yang baik itu berasal daripada Dia dan yang buruk itu dari saya semata-mata". ( lebih kurang begini )

Untuk kedua teman, terima kasih daun keladi…kerana sudi bersama saya selepas tahun-tahun yang kita tinggalkan. Semoga pertemuan kali ini menjadi pintu pada pertemuan selanjutnya.

Sunday, November 4, 2007

surat ungu untuk ungu


Pecah kaca pecah gelas
Sudah baca harap balas

Membaca kembali pantun dua kerat ini buat saya tersengih-sengih seorang diri. Pantun ini agak popular semasa zaman persekolahan saya dulu. Selalu diguna pakai masa menulis surat dan biasanya di tulis pada perenggan akhir diikuti dengan frasa pengenalan diri yang pelbagai cara. Mula-mula saya belajar menulis surat, inilah kata akhir yang saya digunakan. Selepas menjadi sedikit bijak saya mula menggunakan frasa yang lebih ‘indah’ dengan tujuan menguja pembaca untuk membalas surat saya.


Pengetahuan menulis surat saya semakin menjadi-jadi bila saya dilanda cinta. Masa tu email dan sms belum naik saham lagi. Jadi satu-satunya cara menyampaikan isi hati remaja ialah melalui surat. Di lakar setulus hati, di hantar melalui pos Malaysia atau pos persendirian dan dengan kekreatifan yang luarbiasa. Saya pernah menerima surat yang di luar sampul hadapannya ditulis begini:


2 long buggy cut,
-Nama saya-


Kemudian di belakangnya ditulis begini:


From Papar With Love,
-Batman 4’Ever-



Pengenalan surat yang buat saya teruja membacanya. Sempat juga berfikir betulkah Batman menulis surat untuk saya. Tahun-tahun berikutnya saya menerima surat yang akhirnya di tulis begini..


One n only!
-tandatangan pengirim-


Kadang-kadang begini,


with love,
-tandatangan pengirim-



Masa ni hati tengah mekar berbunga. Banyak betul frasa-frasa menguja rasa yang saya pelajari. Surat dan cinta. Tiba-tiba saya rasa ingin menghentikan waktu. Biar saya mempunyai ruang untuk kembali menyelongkar memori indah yang tersimpan dalam kebun mimpi semalam. Saya cinta dia betul-betul..saya pernah berkata begitu. Saya berkata sungguh-sunguh. Kawan saya cakap saya gila. Kawan saya cakap cinta musim sekolah tidak akan ke mana. Cinta budak-budak. Cinta monyet. Selalunya saya berjauh hati dan kerap kali menidakkan guruan itu tapi, mungkin kawan saya bermulut masin ataupun memang sudah tersurat begitu, akhirnya saya akur dengan permainan takdir. Dan untuk memujuk hati, saya selalu ibaratkan hidup ini sebagai cerita dongeng. Jalan cerita yang mulanya penuh ranjau berliku namun di akhiri dengan musim indah meniti pelangi menuju singgahsana. Oh tolong..kejutkan saya. Saya sudah mula bermimpi!

Bila bercerita tentang surat, orang kedua yang layak saya rindui ialah ibu saya. Saya teringat semasa di kolej dulu, ibu turut tersenarai dalam carta orang yang paling rajin menghantar surat untuk saya. Dalam surat panjang berjela itulah dia mengirim seluruh doa kesejahteraan untuk anak perempuannya yang jauh. Paling saya ingat, surat ibu jarang sekali menggunakan tanda baca seperti koma atau noktah. Saya tahu ibu menulis mengikut kata hati dan saya lah yang akan berhempas pulas meletakkan tanda2 itu mengikut keperluan. Hari ini tiba-tiba saya terindu-rindu dengan surat ibu. Terindu-rindu surat retro ‘tulisan sambung’ yang cukup setia pada zamannya.

Beberapa tahun kebelakangan ini, saya tidak lagi menerima walau sepucuk surat sekalipun. Kini saya lebih senang berhubung melalui telefon dan beremail sahaja. Cepat dan mudah. Cuma menekan beberpa nombor kemudian cakap la apa mau cakap. Namun, bila saya menyelongkar kotak misteri, saya tersenyum-senyum sendiri. Banyaknya surat. Saat saya membelek satu persatu, rasa aneh itu diam-diam menyelinap mengusik jiwa. Musim semi itu sudah berlalu. Sangat berlalu. Tapi bila mengingati detiknya saya sesekali tertawa, sesekali tersendu dan kerapkali ingin memasukkan kepala ke dalam baju. Ha ha..tiba-tiba saya teringin bercerita. Tiada niat apa-apa. Saja. Aiso posondianku ginawo!

Surat? Rasanya selepas ini saya tidak akan menerima surat lagi kecuali surat2 rasmi sahaja. Iya, mungkin sudah terjanji begitu.

Sungguh jika tidak dibalas pun, saya tetap titipkan ini..



Pecah kaca, pecah gelas
Sudah baca harap balas!

ungu

ungu

ungu lagi

ungu lagi

unguNYAungu

unguNYAungu

  © Blog Design by Simply Fabulous Blogger Templates

Back to TOP