Saturday, June 30, 2007

kisah dewa lumpur

ungu-sebenarnya tiada rasa yang lebih seronok dari ini-berhikayat tentang sesuatu yang telah di tinggalkan, di lalui atau yang diangankan. Dan antara itu, catatan kali ini ungu memilih untuk bercerita tentang jejak yang di tinggalkan didada Sang Dewa Lumpur. Ia umpama satu sijil penghargaan yang ungu hasilkan dalam frasa yang berbelit-belit tetapi asyik-tujuannya cuma mengangkat sesuatu yang sering dipijak dengan harapan ia dinilai seadilnya oleh kita ( yang mendakwa lebih bijak -dibuktikan dengan sijil yang berfail-fail .)
Ungu dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga yang menganggap tanah berlumpur sebagai dewa.Dia dewa yang sangat berkuasa kerana dialah yang menentukan apa yang dimakan sepanjang hari dan dipakai sepanjang tahun. Dewa berlumpur itulah yang mengukur tinggi rendahnya martabat keluarga juga panjang pendeknya hayat kami di muka bumi.Musim semi sangat meriah semeriah anak-anak ikan puyu dan haruan yang belajar menghidu bau batang padi juga semeriah kicau burung di hujung permatang yang tidak sabar menanti musim rezeki tiba. Antara semua musim, musim paling meriah ialah masa padi sudah mula berbuah. Mengisi tin kosong dengan batu-batu kecil kemudian mengikatnya pada tali yang bersambung dengan kayu pacak di setiap penjuru relung merupakan acara tahunan yang cukup seronok. Setiap tahun pasti sebuah pondok bertiang empat akan didirikan ditengah tanah sekangkang kera itu. Seronoknya kerana di relung sebelah pasti ada lagi podok kecil yang turut dihuni oleh gadis kecil seperti Ungu. Ya, seperti Ungu yang menganyam angan ingin menjadi puteri dari hamparan butir emas itu. Ia rutin setiap tahun dan setiap petang di musim itu gadis kecil itu pasti menghuni pondok itu mengusir sang petualang yang belot pada dewa lumpur. Untuk gadis sekecil itu'kerja' menghalau burung adalah yang paling setaraf dengan kelayakan yang ada. Lebih dari itu, emak pasti berperibahasa kalau kail panjang sejengkal, jangan sembarang-sembarang. Kalau tersilap- silap pijak ( pada anak-anak padi )-silap petik ( pada tangkai padi yang belum cukup umur)-silap pandang ( membiarkan burung mencari rezeki sebelum waktunya )- silap cakap( tercakap yang tidak sepatutnya) maka tanpa kata jemari ibu pasti kasar berbahasa di atas kulitku.Belum reda tangisku ia bersambung lagi dengan ceramah percuma sepanjang malam. Isi ceramah sebenarnya ringkas-mahu aku memuja emas dari perut dewa lumpur itu.memuja-mengangkat martabatnya setinggi mungkin. Kalau ceramah saja aku kira bernasib baik tapi kadang-kadang ia menjadi lebih parah apabila aku terpaksa duduk di kandang pesalah dan dihakimi seolah akulah penjenayah paling dikehendaki. Tanpa perlu saksi atau peguam biasanya di hujung pengadilan aku di sabit kesalahan dan tidak akan terlepas dari kanun ibuku. Sebenarnya banyak unsur-unsur suspen yang di jelmakan oleh ibuku walhal hukumnya tidaklah seteruk mana. Perkara susahnya cuma ketika mendengar dan memasukkan semua fakta yang di campur canai dengan dongeng dewa lumpur dalam kepala. Agak sukar kerana otakku tidaklah secerdik mana pun ketika itu ( dan pada masa catatan ini ditulis ). Namun apabila melihar diriku yang sedewasa ini, aku tiba-tiba terasa bersyukur. Bersyukur kerana semuanya. Ya, untuk semuanya.Tidak ramai yang menduga aku dibesar dan didewasakan oleh titik peluh dan airmata sepasang hamba yang mengabdikan diri pada dewa lumpur sepanjang hayat. Dan tidak ramai juga yang menduga catatan ini sebenarnya bermula di atas pondok bertiang empat di tengah dada sang dewa dari kota kecil hampir 20 tahun dahulu. Catatan ini ada ketikanya kelihatan sekadar catatan biasa tetapi pada ungu ia lebih dari itu. Ia adalah ucapan terima kasih dan luahan rindu tidak bertepi pada tanah leluhur itu. Kini ungu terlalu jauh untuk memijak dada sang dewa walau di hati ia masih mesra seperti dulu. Jarak ini memang tidak bertimbang rasa sang dewa. Tunggu ungu sang dewa, ungu pasti kembali. Sama ada pada penghujung nyawa dan bersemadi di dakapanmu atau untuk kelahiran yang akan datang pun ungu tetap teringin bersamamu sekali lagi. Sekali lagi..

Friday, June 29, 2007

ungunya ungu

Bagaimana ya mahu ku mulakan kata? mungkin begini saja..

ungu

ungu

ungu lagi

ungu lagi

unguNYAungu

unguNYAungu

  © Blog Design by Simply Fabulous Blogger Templates

Back to TOP