Tuesday, October 2, 2007

Rahsia Pohon Jambu Batu


Hampir sebulan saya kembali di sini. Sepatutnya saya sudah pulih seperti sedia kala. Tapi anehnya demam rindu saya tak kebah juga. Malah semakin melarat. Rindu..rindu serindu-rindunya, namun engkau tak mengerti oh..oh... saya nyanyi lagu rindu khas buat sepohon jambu batu yang tidak bertelinga tapi boleh mendengar!

Malam-malam saya terganggu kerana pohon bertuah ini. Pantun ini,
Hendak gugur, gugurlah nangka,
Jangan menimpa si pohon pauh,
Hendak tidur-tidurlah mata,
Jangan mengenang JAMBU yang jauh
, sudah tidak berkesan lagi. Saya mungkin perlu terapi lain.


Dia kawan kedua yang saya rindui selepas padi. Kenapa? Kerana pohon jambu batu ini banyak menyimpan rahsia mimpi kanak-kanak dan cerita hati manusia dewasa. Dulu-dulu pohon jambu batu ini menjadi rumah kedua kami ( saya dan adik perempuan). Balik dari sekolah, tanpa membuka baju sekolah kami terus panjat pokok, bergayutan kemudian berlumba turun melalui dahan yang terjuntai. Pohon jambu batu kami sangat penyayang. Dia tidak pernah mencederakan orang. Kalau setakat lebam dan calar dibetis, itu bukan apa-apa untuk anak kampung seperti kami. Di antara cabang jambu batu ini kami bercerita tentang banyak perkara. Sebahagiannya tentang rahsia hati-rindu yang pertama kali bertandang dihati seorang kanak-kanak dan tentang cinta yang bertamu dihati seorang gadis. Itu cuma sedikit. Rahsia paling banyak tersisip tentunya tentang lagu-lagu yang kami nyanyi setiap hari. Tempat ini seperti studio rakaman yang telah menyimpan bertimbun-timbun pita rakaman lagu nostalgia dari hati kami. Banyaknya mungkin seperti daunnya yang rimbun ini.

kau lilin cintaku

Kau kerlipan cahaya kecil
Menyinari hidup ku
Ku hanyalah gadis sepi
Yang tertawan dengan sinar mu
Memberi kekuatan dan keyakinan diri
Pada hati yang tersangkar di dalam duka

Kau lilin cinta ku dengan keindahanmu
Mengusir kenangan yang menggugat perasaan
Kau lilin cinta ku
Memberi nafas baru
Di dalam dunia hati ku yang kegelapan

Kau yang dulu kedinginan
Tidak lagi keseorangan
Kau datang dalam hidup ku
Menyalakan harapan baru
Sungguh aku terharu dengan pengorbanan mu
Rela terbakar demi sebuah cinta
(ini antara lagu hits masa itu!)

Saya sebenarnya ingin menyiapkan cerpen pertama saya ( kalau layak di label begitu) ‘segantang beras pulut’ tetapi ingatan saya tetap saja mahu melayang-layang pulang. Hari ini saya beri laluan untuk rindu itu. Moga rindu saya ini akan menjadi baja yang boleh memanjangkan hayat pokok jambu batu kesayangan ramai itu.

Ini cerita lama,
tentang seorang gadis kecil
yang kakinya luka tercalar
diusik dahan jambu batu
hari ini dia menangis lagi
kerana rindu pada calar yang hilang!

-Nilai-


2 comments:

Kay Masingan said...

pokok jambu tu adalah saksi peredaran usia seorang gadis.

Dari budak hingusan- seorang kanak2
dari kanak2- remaja
dari remaja- belia
dari belia - wanita yang dewasa.

wahai gadis,
pandanglah pada si pokok jambu
dia tidak pernah bosan,
memberikan keceriaan padamu,
tidak pernah mengeluh pada perbuatanmu
apa lagi berdendam,
walau fizikalnya berubah
tapi, manis rasanya tetap sama.
walau sudah bertahun lama.

UNGU said...

iya-apa yang hadir dalam hidup, kini hanya satu kenang-kenangan. penulis kesayangan saya pernah berkata-biarlah memori zaman kanak2 tetap ada dalam diri tanpa mengorbankan kedewasaan kita.

ungu

ungu

ungu lagi

ungu lagi

unguNYAungu

unguNYAungu

  © Blog Design by Simply Fabulous Blogger Templates

Back to TOP