Sunday, July 22, 2007

kk-kl


Aku menangis lagi.Menangis dan menangis lagi. Hampir separuh penerbangan AK 1500 dari Terminal 2 Kota Kinabalu ke LCCT aku sudah habiskan dengan adegan hindustan ini. Mamat mata sepet yang duduk selang satu kerusi pun dan tiga empat kali pandang. Hairan barangkali. Sesekali memandang majalah di ribaku dan pasti sedang cuba meneka punca aku menangis. Tisu yang sudah aku sediakan awal-awal lagi sudah tidak cukup menampung banjir kilat kali ini. Terlebih skrip. Aku melepaskan nafas perlahan-lahan. Ditahan-tahan. Cuba memujuk hati supaya tidak menangis lagi. Sudahlah wahai sang hati jangan bersajak luka lagi. Cukuplah syair sedih itu. Jangan diulang-ulang lagi. Banjir dihulu hati tidak mampu ditahan oleh tisu berharga 30 sen ini. Tapi hatiku degil masih lagi bergurindam jiwa-
tuai padi antara masak
esok jangan layu-layuan
intai kami antara nampak
esok jangan rindu-rinduan..

Demikian degilnya hati wanita suku abad ini.Aku tidak berputus asa, terus memujuk hati.
cukup hati,
ungu itu tidak terlalu indah sebenarnya,
pilihlah warna merah cinta
atau putih tulus
atau biru kudus
atau juga semua warna
selain ungu.
ungu itu sekadar ungu
dan bukan apa-apa!
Hatiku tetap berdegil sehingga membuat aku hilang sabar. Dalam keadaan tisu tinggal sehelai ini hati terus bersayu-sayu.Berhiba-hiba.
Dua tiga kucing berlari
mana sama si kucing belang
dua tiga boleh kucari
mana sama dia seorang
.

Amboi. Dengan pantun zaman tadika ni pun boleh buat hati menangis. .Aku pura2 berlawak.sebenarnya cuba memujuk hati namun tiada tanda-tanda boleh berjaya.
Rupanya mamat mata sepet di sebelah punya cuping telinga yang cukup sensitif. Dia menoleh lagi dan aku jadi tidak selesa. Aku pura-pura membaca majalah Eh di tangan ku, padahal huruf-huruf itu tidak membawa maksud apa-apa padaku. Kelihatan seperti kaligrafi cina dan sesekali kelihatan seperti tulisan Siam. Tidak bermakna. Aku terus pura-pura membaca sedang bab edisi pengantin majalah Eh Jun ini tidak lebih dari sekadar bawang ros merah yang dikupas di depan mataku. Menambah pedih di mata dan nyilu di hati.

Kawin..? Alahai inilah kata kunci kenapa aku menangis bagai nak rak. Setiap kali pulang ke tanah lahir pasti persoalan inilah yang buat aku rasa tak nak turun dari perut kapalterbang. Soalan inilah yang menyebabkan aku buat-buat pekak bila ditanya dan kadang-kadang terasa pula nak buat-buat buta masa jumpa dengan kawan-kawan lama. Bukan mengelak ( mengelak la tu ) tapi sebenarnya aku tidak menemui sebarang jawapan biarpun selepas buat ulangkaji beberapa kali.

Ditanya tentang perihal kawin terasa seperti sedang di'bedah' siasat sebenarnya. Sakit dan sedihnya hati hanya Tuhan saja yang tahu. Kadang kala berjauh hati dan bertanya mengapa mesti aku yang melalui semua ini. Kenapa tidak orang lain sahaja. Kenapa jalan hidup perlu berkeluk liku yang seringkali membuat aku terjatuh- tersungkur bersendirian.

Masih lekat dicuping telinga kata-kata mama pagi sebelum keberangkatanku. Lebih kurang begini maksudnya ' aku perlu berkawin kerana aku perempuan dan perlu ada seseorang yang menjaga terutama ketika jauh dengan keluarga'. Alahai mama, aku sudah besar panjang la..tak perlu dijaga lagi-berkawin kalau setakat menyusahkan, lebih baik jangan. Sebenarnya kata-kata ini mahu saja aku luahkan tapi rasa hormatku menegah aku berbuat begitu. Lantas aku pun menjelma menjadi gadis yang sopan santun dan menjawab begini ' nanti la, kalau ada jodoh kawin la saya'. Kalau nak tahu aku sebenarnya benci sangat dengan jawapan itu. Hipokrit sangat. Tapi bila membaca riak terkilan dihati mama aku buat-buat sedih. Akhirnya perbualan kami mati di situ dan rasa kesalku bermula diperut pesawat ini.

Selama 2 jam 45 minit diperut pesawat aku hanya berfikir tentang jodoh dan kawin. Dua hal yang buat aku menangis macam orang putus cinta. Si Mata Sepet pula macam tukang tilik. Dari tadi pandang kita tak henti-henti. Ingat aku ada hutang ke dengan dia. Mahu saja aku jerit begitu tapi hanya bergema di dalam hati.

Bila masa anak kapal mengumumkan ketibaan kami di LCCT pun aku tak sedar. Yang aku sedar penumpang mula sibuk membetulkan rambut yang tadi macam sarang tebuan, menebalkan kembali lipstik yang dah pudar, membetulkan kain baju yang senget dan banyak lagi ragam lain. Haa ni la tanda-tanda dah sampai di tempat baru. Itu sebenarnya jelmaan dari kata-kata ' aku baru turun kapalterbang la..'Aku..? cuma tergesa-gesa menghidupkan telefon bimbit walaupun berkali-kali anak kapal memberi amaran sambil tangan kiri mencapai beg. Rasanya tak salah sesekali jadi penganas..

Pesanan terbaru tertera di skrin hp buat aku terhenti seketika. Ia berbunyi ' bersyukurlah kerana dipilih untuk melalui semua ini. Dia punya alasan yang kukuh-kerana kamu masih banyak kekuatan untuk menghadapinya '. Membaca sms dari sepupu membuat semangat ku kembali berkobar-kobar. Terasa nak tukar pula nama dalam IC tu jadi Tun Teja.Tak sangka ya semangat membara ni akhirnya buat hati begitu patuh. Tidak menangis lagi. Mujurlah ia tidak meninggalkan sebarang bekas dan tanda. Sebelum meninggalkan LCCT yang sesak ini sempat juga aku mengingati dua baris gurindam jiwa berbunyi begini:-

bercerai kasih talak tiada

seribu tahun bertemu juga

Kenapa ya masih berpantun begini..aku tak habis fikir lagi la.!


2 comments:

Kay Masingan said...

hah, ni baru la tulisan namanya. haha lucu juga o kan ida. nasib baik inda banjir tu areoplane. kalo inda mungkin jatuh kali di LCS tu areoplane tu. ba keep on blogging kio

UNGU said...

haha..iya la nasib baik nda banjir.

ungu

ungu

ungu lagi

ungu lagi

unguNYAungu

unguNYAungu

  © Blog Design by Simply Fabulous Blogger Templates

Back to TOP